Sokong PM Pertahankan Tulisan Jawi
TEMERLOH 7 Okt. - Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) sebulat suara menyokong ketegasan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam memperkasakan tulisan Jawi sebagai warisan negara dan identiti nasional.
Presidennya, Muhd. Fadhli Jusoh berkata, ini berdasarkan kenyataan Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu terhadap keputusan memperkenal seni khat, tulisan Jawi adalah muktamad.
Menurutnya, kenyataan itu adalah selaras aspirasi dan pendirian KKGAMB berkaitan dengan isu tulisan Jawi yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
“Tanda sokongan itu adalah usul sebulat suara dalam Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan KKGAMB Kali Ke-43 yang diadakan di Dewan Raja Laut, Hotel Summit City Centre, Kuala Lumpur semalam yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Hassan A. Hamid,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Dalam pada itu tegasnya, KKGAMB menuntut Kementerian Pendidikan memperkasa dan menambah peruntukan waktu mata pelajaran tulisan Jawi dalam kurikulum sekolah di negara ini.
Katanya, sebagai sebuah kesatuan guru yang menaungi kepentingan guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab menyifatkan tambahan waktu tulisan Jawi penting bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) khususnya bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment